Oleh: Mohd Dzul Khairi B Mohd Noor
Di dalam Islam, ilmu pengetahuan mempunyai kedudukan yang tinggi dan istimewa di sisi Allah. Ini terbukti melalui pengiktirafan Allah terhadap ilmu melalui wahyu pertama Ilahi kepada junjungan besar Rasulullah iaitu surah al-‘Alaq. Allah telah memerintahkan baginda untuk mempelajari ilmu dan menitikberatkan kepentingan pembelajaran dalam setiap aspek kehidupan manusia.
Ilmu, pencarian ilmu, penyebaran ilmu memiliki akar yang kuat dalam ajaran Islam. Begitu banyak ayat dan hadith dapat dikutip untuk menerangkan hal ini. Pakar Ilmu Al Quran pernah menyebut bahawa pengulangan konsep kepentingan ilmu di dalam Al Quran merupakan satu indikasi terhadap penekanannya atau makna penting konsep tersebut. Salah satu hadith yang boleh dijadikan sebagai ilustrasi mengenai pentingnya ilmu adalah salah satu sabda Rasulullah yang menyatakan keunggulan seorang berilmu dibandingkan dengan orang yang beribadah seperti terangnya bulan purnama dan bintang-bintang. Jelas di sini bahawa ilmu pengetahuan dalam Islam mengandungi satu kefahaman ilmu yang menyeluruh dan bersepadu yang menyaksikan ilmu dan nilai tidak dapat dipisahkan sama sekali. Termasuk dalam konteks ini, ilmu sains dan teknologi adalah antara cabang ilmu pengetahuan yang memberi manfaat dan faedah besar kepada kelangsungan tamadun manusia. Dalam erti kata lain, sebarang ilmu yang boleh mendatangkan manfaat kepada manusia dan memandu manusia ke arah jalan benar merupakan ilmu yang mendapat tempat mulia di sisi Islam. Namun begitu, ramai penuntut ilmu agama, yang mungkin sedang terlena sehingga mereka kurang menyedari betapa agungnya kemuliaan jalan ilmu yang sedang mereka tempuh, bahkan menyibukkan diri dan memberikan perhatian besar pada kebanggaan-kebanggaan duniawi yang rendah nilainya, yang sering dilakukan oleh orang-orang awam yang jauh dari bimbingan ilmu.
Padahal kalau seandainya mereka benar-benar menyedari tingginya kedudukan ilmu ini nescaya mereka tidak akan menoleh sedikit pun pada kebanggaan-kebanggaan tersebut. Oleh kerana itulah Allah S.W.T memerintahkan orang-orang yang berilmu untuk bangga dan merasa cukup dengan kemuliaan ilmu yang mereka miliki, yang itu jauh lebih baik dan mulia dibandingkan semua kemewahan duniawi yang berlumba-lumba dikumpulkan oleh kebanyakan manusia, Allah azza wa jalla berfirman,
قُلْ بِفَضْلِ اللّهِ وَبِرَحْمَتِهِ فَبِذَلِكَ فَلْيَفْرَحُواْ هُوَ خَيْرٌ مِّمَّا يَجْمَعُونَ
“Katakanlah: Dengan kurnia Allah dan rahmat-Nya, hendaklah dengan itu mereka (orang-orang yang berilmu) bergembira (berbangga) kurnia Allah dan rahmat-Nya itu adalah lebih baik dari apa (kemewahan duniawi) yang dikumpulkan (oleh manusia).” (QS. Yunus: 58)
Kecintaan dan penghormatan yang Allah S.W.T jadikan bagi orang-orang yang berilmu, adalah kecintaan dan penghormatan yang benar-benar murni bersumber dari dalam hati manusia. Lain halnya dengan penghormatan manusia kepada orang yang memiliki harta atau kekuasaan misalnya, hanya berupa penghormatan dalam bentuk lahiriah, bahkan terkadang diiringi dengan kebencian dalam hati. Sehingga wajar kalau kita dapati para ulama Ahlusunnah demikian dicintai dan dihormati oleh orang-orang yang shalih, bahkan setelah mereka wafat pun mereka tetap dipuji dan selalu didoakan dengan kebaikan, padahal banyak di antara mereka yang tidak memiliki harta atau kekuasaan duniawi. Hal ini terjadi kerana adanya suatu keistimewaan yang Allah S.W.T jadikan pada ilmu agama, iaitu kemampuan dan kekuatan untuk menundukkan dan menguasai hati manusia, sehingga menjadikan hati mereka tunduk kepada orang yang membawa ilmu tersebut, Oleh kerana itulah dalam banyak ayat Al Quran (Lihat misalnya QS. Yunus: 68, QS. An Najm: 23, QS. Ash Shaaffaat: 156 dan lain-lain). Allah S.W.T menamakan dalil-dalil ilmiah dari Al Quran dan Sunnah dengan nama “Sulthan” (sesuatu yang memiliki kekuatan dan kemampuan menundukkan), Ibnu ‘Abbas radhiallahu ‘anhu berkata, “Semua (lafazh) sulthan dalam Al Quran (artinya) adalah Hujjah (dalil/argumentasi ilmiah dari wahyu Allah subhanahu wa ta’ala).” (Lihat kitab Miftahu Daaris Sa’adah 1/243-244).
Dalam abad moden ini pembinaan budaya ilmu sangat perlu dititikberatkan lebih-lebih lagi kini kebangkitan umat sedang menuju ke puncak. Sebagaimana diingatkan oleh Anwar Ibrahim bahawa proses membangkitkan umat sangat berkait dengan upaya pengembalian posisi utama pengetahuan dan pendidikan dalam masyarakat dengan memperkuatkan api semangat belajar untuk tertarik pada ladzzah al ma’rifah, kenikmatan berjumpa dengan pimikir-pemikir besar, dan ketakjuban dalam menemukan gagasan-gagasan baru. Anwar Ibrahim juga mengingatkan akan permasalahan yang masih dialami sebahagian besar daripada umat ini, “Kita bangga dengan Islam sebagai agama yang banyak berbicara mengenai ilmu. Kata pertama yang pertama diturunkan dalam Quran adalah iqra’. Tetapi kita melihat kini sebahagian besar muslim tidak dapat membaca. Sebahagian yang mampu membaca tetapi tidak memahami. Mereka yang mampu membaca dan memahami tetapi terjebak pada buta huruf budaya (culturally illiterate). Salah satu fenomena buta huruf budaya ini terlihat pada sikap filistinisme, perhatian terhadap soal-soal dan kebiasaan yang remeh.
Sebagai kesimpulannya, umat Islam perlu bersatu agar dapat menghadapi segala ujian dan rintangan, dengan cara menghidupkan kembali semangat dan roh cintakan ilmu ke dalam jiwa dan sanubari. Penghayatan ilmu itu bukan sahaja dititik beratkan dalam soal pelajaran di institusi pengajian sahaja, tetapi penghayatan itu merangkumi kajian, penelitian dan perlaksanaan ilmu itu sendiri.
Sesungguhnya ilmu tidak boleh dipisahkan dari kehidupan umat Islam. Ini adalah kerana ilmu itu sebenarnya menjadi tunjang atau asas kekuatan umat, yang mengandungi berbagai-bagai hikmah dan pengajaran serta menjadi panduan dan teras kehidupan. Oleh itu, pembudayaan ilmu wajar dihayati dan dilaksanakan oleh segenap lapisan masyarakat Islam di dunia amnya dan Malaysia khasnya.
testing