Oleh: Mohd Faisal B Mustaffa
“Suatu bangsa yang maju tidak cukup hanya dengan pemimpin yang bijak dan bercita-cita, tetapi memerlukan angkatan muda yang bukan sahaja cergas, tetapi juga bercita-cita.” Begitulah ungkapan yang pernah dilontarkan oleh Sasterawan Negara, Usman Awang. Angkatan muda yang dimaksudkan oleh beliau ialah golongan pemuda, atau dalam konteks dunia hari ini ialah kelompok mahasiswa. Kemajuan sesuatu bangsa bukan hanya bergantung kepada kecerdikan dan kehebatan seorang pemimpin, tetapi juga sangat berkait rapat dengan idealisme yang dilontarkan oleh golongan mahasiswa serta keterlibatan mereka dalam masyarakat. Dalam konteks membangunkan negara, mahasiswa perlu terlebih dahulu membimbing masyarakat dengan cara menyampaikan perkongsian ilmu yang mereka pelajari, membantu menyumbangkan idea-idea untuk menyelesaikan masalah yang berlaku di dalam masyarakat, dan yang paling penting ialah perilaku dan akhlak yang mereka tonjolkan, kerana mahasiswa merupakan golongan yang dipandang tinggi dan mulia. Segala perlakuan mereka sentiasa diperhatikan dan dinilai. Sekiranya mahasiswa sendiri tidak menonjolkan akhlak dan contoh yang baik, maka kepercayaan masyarakat terhadap mereka kian lama kian terhakis. Jadi, sebelum membetulkan masyarakat, golongan mahasiswa, khususnya mahasiswa Islam perlu memperbaiki diri mereka terlebih dahulu. Jangan cuba mengintip semut nun di seberang, sedangkan gajah di hadapan mata tidak nampak. Apa sudah jadi dengan mahasiswa Islam? Adakah golongan ini masih lagi boleh diberi kepercayaan untuk membangunkan masyarakat? Jika dikaji, mahasiswa Islam kini kian luntur ideanya, makin bernanah akhlaknya. Lembap. Pemalas. Jumud. Inilah di antara gelaran yang dikalungkan ke leher mahasiswa Islam sebagai tanda ‘penghormatan’ di atas kelesuan mereka. Dari aspek akhlak dan perlakuan, mahasiswa Islam tidak lagi menonjolkan peribadi seorang Muslim. Mereka serupa sahaja dengan golongan yang jahil agama. Tiada lagi beza di antara intan dan kaca. Paling ketara, mahasiswa Islam kini kian terikut-ikut arus modenisasi sehingga membelakangkan aspek-aspek syarak. Mahasiswa Muslimah yang bakal bergelar ‘ustazah’ dan akan mendidik anak bangsa kian ramai menayangkan ‘perhiasannya.’ Terdedah dan terbuka di sana-sini. Golongan inikah yang mampu memimpin negara pada masa hadapan? Diri sendiri berjalan bengkok, tetapi mahu membetulkan orang lain agar berjalan lurus. Ibarat air musta’mal, iaitu sifatnya suci, tetapi tidak boleh menyucikan sesuatu yang lain. Atau seperti air mutanajjis, iaitu air yang kotor dan sudah pasti tidak boleh menyucikan sesuatu benda yang kotor. Mampukah masyarakat menerima golongan seperti ini? Tepuk dada, tanyalah iman. Kesimpulannya, mahasiswa Islam seharusnya sentiasa mengkoreksi diri sendiri sebelum terjun ke dalam masyarakat kelak. Mereka perlu menonjolkan keperibadian seorang Muslim agar menjadi qudwah hasanah kepada orang lain, kerana golongan mahasiswa adalah golongan yang dipandang mulia sebagai pembentuk keunggulan keperibadian masyarakat, malah diraikan pendapatnya. Jangan lunturkan kepercayaan masyarakat terhadap kredibiliti mahasiswa. Jadilah seperti air mutlak, iaitu air yang sifatnya suci lagi menyucikan. Sifatnya bukan sahaja suci, tetapi kesuciannya itu boleh dimanfaatkan untuk kegunaan orang lain.
Leave a comment